Saranan Maximus Ongkili perlukan kelulusan Kabinet Sarawak – Abdullah

Spread the love

KUCHING, 29 Julai : Sebarang tindakan susulan di Sarawak susulan kelulusan Pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung larangan Ahli Parlimen bertukar parti di Dewan Rakyat semalam perlu mendapat kelulusan Kabinet Sarawak.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Komunikasi, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, beliau tidak bersetuju dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Maximus Ongkili yang meminta Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak untuk segera membentangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di peringkat negeri dalam tempoh 60 hari.

Abdullah berkata, Sarawak menyokong peruntukan larangan melompat parti dilaksanakan di negeri ini namun masih perlu mengkaji secara terperinci keperluan di negeri ini.

“Jika pemimpin kita telah membuat keputusan yang muktamad dalam segala aspek Pindaan yang perlu, mungkin kita boleh membentangkan perkara ini dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung pada November ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Semalam, Maximus yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata adalah penting untuk DUN Sabah dan Sarawak supaya segera membentangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di peringkat negeri dalam tempoh 60 hari.

Ini kerana katanya pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk melarang Ahli Parlimen bertukar parti yang diluluskan Dewan Rakyat pada semalam tidak terpakai di kedua-dua DUN berkenaan.

Abdullah berkata, Kerajaan Sarawak akan memastikan hak negeri ini seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus dilindungi.

“Kita akan pastikan setiap kepentingan Sarawak mesti terjaga,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.