Minggu kedua Parlimen cipta lembaran baharu ke arah masa depan politik lebih baik

Spread the love

KUALA LUMPUR, 29 Julai : Satu lembaran baharu ke arah masa depan politik negara yang lebih baik dicipta pada minggu kedua persidangan Dewan Rakyat apabila Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, diluluskan dengan sokongan lebih dua pertiga Ahli Dewan Rakyat. 

Pindaan Perlembagaan Persekutuan itu memperoleh sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen dengan 11 tidak hadir, selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan.

Baca > > > Malaysia lakar sejarah, undang-undang larang lompat parti dilulus Dewan Rakyat

Menerusi kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu, ia jelas memberi isyarat bahawa rakyat kekal menjadi pemegang taruh terbesar negara melalui undian yang diterjemahkan dalam pilihan raya umum dan mandat itu seharusnya dihormati. 

Kali terakhir Dewan Rakyat memperoleh sokongan lebih dua per tiga Ahli Parlimen adalah ketika Pindaan Perlembagaan 2022 pada Mac lepas yang antara lain bertujuan mengadakan peruntukan ketidakpakaian Perkara 119 kepada Raja-raja berhubung pendaftaran pemilih.

Melalui rang undang-undang itu, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membuat pengecualian kepada Raja Pemerintah dan pasangan, Yang Dipertua negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan serta mana-mana orang lain daripada didaftarkan sebagai pemilih secara automatik supaya kekal berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Turut mencuri tumpuan pada persidangan minggu ini adalah usul lanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) untuk terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

Usul dibawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu diluluskan setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 88 tidak bersetuju dan 21 tidak hadir.

Subseksyen itu antaranya menyebut, seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari, bagi maksud penyiasatan.

Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 yang bertujuan  mempertingkatkan integriti, mengurangkan salah laku dalam kalangan anggota polis dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan keselamatan itu juga diluluskan Dewan Rakyat.

Selain itu, sidang dewan juga meluluskan Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 yang bertujuan menjamin kesejahteraan sosial suri rumah, keluarga dan masyarakat menerusi skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2022,  Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022.

Antara rang undang-undang yang dijangka dibentangkan pada minggu depan ialah Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, yang antara lain memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.