Jenayah terancang : Seorang lagi ahli ‘Geng Sakai’ didakwa

Spread the love

KUALA LUMPUR, 29 Julai : Seorang lagi lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Sakai’ antara Januari 2015 dan Jun 2021.

G. Rajasekeran, 32, seorang penganggur hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana dia ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Flat Sri Selangor, di sini antara Januari 2015 dan 20 Jun 2021, mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Ab Manaff berkata tertuduh baru sahaja ditangkap bagi kes berkenaan yang menyaksikan 23 tertuduh sebelum ini didakwa berhubung pertuduhan serupa dan kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini.

“Pihak pendakwaan telah mendapat izin untuk memindahkan kes hari ini ke Mahkamah Tinggi kerana kes yang sama sedang dibicarakan dengan seramai 20 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan,” kata Maryam Jamielah.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Pada prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam Fakhrul Redha Paridul Adras. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.