Festival Maal Hijrah pikat masyarakat dampingi masjid

Spread the love

KUCHING, 29 Julai : Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) menganjurkan festival selama tiga hari di Masjid Jamek di sini bagi mewarnai sambutan Maal Hijrah Sarawak 1444H.

Festival yang berlangsung bermula pada hari ini hingga 31 Julai itu juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama masyarakat di samping mahu menggalakkan golongan belia ke masjid.

Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, festival ini akan dimeriahkan dengan penganjuran pelbagai aktiviti berkonsepkan keagamaan dan kebudayaan.

“Sekarang kita anjurkan satu seminar dan kemudian akan disusuli dengan pertandingan marhaban, pertandingan silat dan banyak lagi.

“Saya jangkakan ramai pengunjung akan hadir kerana kawasan ini boleh menampung sehingga 3,000 orang,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan simbolik pembukaan festival serta pengibaran bendera rasmi Maal Hijrah.

Pada majlis sama, turut berlangsung simbolik penyampaian tajaan festival Maal Hijrah daripada beberapa rakan strategik LAKMNS, termasuk Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Takaful Ikhlas General Berhad dan Lubuk Tiara Sdn Bhd.

Abang Abdul Wahab berkata, pihaknya bercadang untuk menjadikan festival berkenaan sebagai acara tahunan jika sambutan pada tahun ini menggalakkan.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.