Berakhir era Ahli Parlimen lompat katak – Abdul Karim

Spread the love

KUCHING, 29 Julai : Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyifatkan kejayaan Pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung larangan Ahli Parlimen bertukar parti akan membawa ke arah politik yang lebih stabil di negara ini.

Naib Presidennya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebelum ini rakyat serta pengundi berasa kecewa apabila wakil rakyat yang dipilih mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) bertindak ‘menukar’ parti atas pelbagai alasan.

Katanya, tindakan itu seolah-olah pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan oleh pengundi.

“Sokongan dua pertiga iaitu 209 undi, sudah tentu perkara ini satu berita baik.

“Sejak dulu lagi saya berpendapat, sekiranya seseorang itu bertanding atas tiket parti tertentu dan menang, maka kekalkah, jangan melompat ke sana ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas perkembangan di Dewan Rakyat semalam yang menyaksikan detik bersejarah tercatat apabila menerima kelulusan lebih dua pertiga terhadap Pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan perkara itu berkata 11 Ahli Parlimen tidak hadir.

Terdahulu, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak hadir majlis makan malam sempena Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Kebudayaan ASEAN Kali Ke-23 dan Mesyuarat Kali Ke-11 ASEAN Campur Tiga Cultural Cooperation Network Meeting (APTCCN) di sini hari ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.