Bentang RUU Anti Lompat Parti di DUN Sabah, Sarawak – Ongkili

Spread the love

KOTA KINABALU, 29 Julai : Adalah penting bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak untuk segera membentangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di peringkat negeri dalam tempoh 60 hari, kata Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata ini kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk melarang Ahli Parlimen bertukar parti yang diluluskan Dewan Rakyat pada Khamis, tidak terpakai di kedua-dua DUN berkenaan.

Justeru, katanya PBS menggesa kerajaan Sabah yang diketuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya segera membentangkan Rang Undang-Undang anti lompat parti di peringkat negeri.

“Sidang khas mesti dipanggil untuk meluluskan rang undang-undang ini dalam tempoh 60 hari akan datang, dan bagi kami di PBS selepas 37 tahun, ini benar-benar impian menjadi kenyataan dan pengiktirafan kepada perjuangan parti untuk memastikan kestabilan politik, bukan hanya di negeri ini tetapi negara secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’ mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan, sekali gus melakar sejarah yang mengubah landskap politik tanah air.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Rakyat. 

Ongkili berkata PBS sentiasa menentang kelakuan sedemikian yang menggambarkan tradisi ‘melompat katak’ sebagai politik yang berdosa dan tidak berprinsip.

“Bagi kami, ia adalah jahat, tidak adil, tidak beretika atau adab yang baik,” katanya sambil menambah parti itu cuba menghentikan lompat parti dengan meluluskan Rang Undang-Undang di DUN negeri pada 1988 untuk menghalang Ahli DUN daripada berpaling tadah, namun ia diisytiharkan batal dan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata langkah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) itu memberi mesej jelas kepada setiap wakil rakyat supaya berpegang teguh kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat.

Beliau menerusi kenyataan berasingan berkata lanskap politik yang stabil membolehkan semua pihak membangunkan negara secara bersama untuk kemakmuran yang dinikmati seluruh Keluarga Malaysia. 

Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata keyakinan pelabur dalam dan luar negara terhadap situasi politik negara akan mewujudkan kembali pelbagai peluang baharu perniagaan dan penciptaan pekerjaan yang akan mengukuhkan ekonomi rakyat.

“Paling penting RUU berkenaan melindungi kepentingan dan kepercayaan rakyat yang telah memberi undi terhadap ahli politik yang dipilih serta dilantik melalui proses pilihan raya seharusnya dipertahankan dengan penuh integriti,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.