Visa kemasukan berganda pelancong ke Malaysia wajar dipertimbangkan

Spread the love

KUCHING, 28 Julai : Malaysia bersedia untuk memperkenalkan visa kemasukan berganda untuk pelancong ke negara ini sebagai usaha untuk memulihkan semula sektor pelancongan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, di pihak kementeriannya, mereka telah menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mempertimbangkan perkara berkenaan.

“Melihat kepada peningkatan kemasukan pelancong ke negara ini, wajar sebenarnya untuk mempunyai lebih daripada kemasukan satu hala.

“Sebagai contoh, pelancong datang ke Kuala Lumpur dan kemudiannya menaiki cruise ke Singapura namun untuk kembali semula ke Malaysia, mereka tidak boleh berbuat demikian kerana kekangan visa,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Kebudayaan ASEAN (Asean-SCC) kali ke-23 dan Mesyuarat kali ke-11 ASEAN Campur Tiga Cultural Cooperation Network Meeting (APTCCN), di sini, hari ini.

Tambahnya, kementerian amat menggalakkan supaya kemasukan pelancong ke Malaysia dipermudahkan.

“Bagaimanapun perkara ini bergantung kepada keputusan KDN.

“Secara tidak rasminya, saya dan Menteri KDN telah berbincang tentang perkara ini, ” katanya.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, beliau berharap agar perkara ini dapat dijadikan sebagai dasar sementara untuk Malaysia bagi meningkat jumlah kemasukan pelancong.

Untuk rekod, Malaysia telah menerima lebih 4.5 juta kemasukan pelancong sejak pembukaan pintu masuk negara dan angka itu akan dinilai semula pada September ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.