Perdana Menteri akan lepaskan peserta konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia

Spread the love

KUCHING, 28 Julai : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan melepaskan peserta Flag Off Kembara Merdeka Keluarga Malaysia sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Sabtu ini.

Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Suwadi Guliling berkata, seramai 600 orang akan terlibat dalam program itu yang berlangsung di Putrajaya.

Katanya, peserta konvoi pula terdiri daripada 412 jentera serta 225 barisan untuk menjayakan acara berkonsepkan pertukaran baton membawa Jalur Gemilang ke seluruh negara.

“Baton ini diserahkan kepada jentera seterusnya di setiap sempadan negeri.

“Setelah selesai menjelajah seluruh negara, mereka akan kembali ke Dataran Merdeka yang menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2022,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual secara dalam talian oleh TVS di sini hari ini.

Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Suwadi Guliling

Ujar Suwadi, penganjuran program pada tahun ini akan melibatkan penyertaan kenderaan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi di peringkat persekutuan, negeri dan daerah serta penglibatan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan kelab permotoran.

Katanya, kembara ini turut akan menonjolkan keunikan di setiap hentian bagi mengetengahkan keunikan Keluarga Malaysia membabitkan aspek budaya, makanan, tarikan dan gaya hidup komuniti setempat.

Selain itu tambah beliau, antara program utama yang turut menjadi fokus pada majlis pelancaran itu ialah Program Berjalan Teguh Bersama.

“Program berkonsepkan berjalan beramai-ramai secara santai sepanjang 2.7 kilometer (km) pada Sabtu ini akan bermula di Dataran Putra, Putrajaya pada pukul 6.30 pagi,”katanya.

Lebih menarik, Suwadi berkata, pelbagai aktiviti akan dijalankan di sepanjang laluan program itu antaranya persembahan muzik Irama Gema Orang Asal dan pancaragam.

Dalam pada itu katanya JaPen turut menyeru seluruh Keluarga Malaysia agar dapat sama-sama meraikan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.