FDA AS luluskan hampir 800,000 vaksin cacar monyet

Spread the love

HOUSTON, 28 Julai : Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) pada Rabu meluluskan hampir 800,000 dos vaksin Jynneos untuk memerangi wabak cacar monyet.

Vaksin Jynneos dihasilkan oleh Bavarian Nordic di Denmark dan ia digunakan untuk mencegah cacar monyet dan cacar.

Langkah itu penting bagi memerangi wabak cacar monyet di AS sebelum ia menjadi lebih parah. 

“Keputusan FDA ini merupakan langkah penting demi mengukuhkan dan mempercepatkan tindak balas terhadap cacar monyet, termasuk membekalkan vaksin selamat dan berkesan kepada mereka yang berisiko tinggi terdedah kepada wabak itu,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Setiausaha Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia (HHS) Xavier Becerra. 

Beliau berkata FDA tekah mempercepatkan pemeriksaan dan kelulusan terhadap vaksin buatan Bavarian Nordic ini bermakna tambahan sebanyak 786,000 dos vaksin kini tersedia untuk digunakan di AS.

“Dengan kelulusan Jynneos, HHS kini berusaha untuk menyediakan dos yang mencukupi kepada semua negeri di AS secepat mungkin. Tindakan agresif dalam memerangi wabak cacar monyet menjadi keutamaan HHS,” katanya.

HHS memaklumkan pihaknya akan mengumumkan lebih banyak lagi peruntukan vaksin pada Khamis.

“Kami akan terus mempercepat dan mengukuhkan tindak balas dalam beberapa hari akan datang, dan akan bekerjasama dengan rakan kongsi di lapangan, dalam komuniti, dan di peringkat antarabangsa untuk memerangi virus ini dan melindungi mereka yang berisiko.

“Saya memuji seluruh pasukan FDA atas usaha gigih mereka dalam menyediakan vaksin tambahan secepat mungkin sambil memastikan ia memenuhi standard kualiti dan tahap keselamatan yang tinggi,” kata Becerra. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.