Dua kanak-kanak maut dalam kejadian tanah runtuh di Kota Kinabalu

Spread the love

KOTA KINABALU, 28 Julai : Dua kanak-kanak maut dalam kejadian tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah di Taman Elok, Jalan Bukit Nenas di sini, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata, dua mangsa itu masing – masing seorang kanak – kanak perempuan dikenali  Norain Jaziz, 11, dan kanak-kanak lelaki, Isa Sabri yang berusia dua tahun.

Katanya, kedua-duanya disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini ketika sedang dirawat.

Beliau berkata mangsa dewasa yang tertimbus dikenali sebagai Siti Nur, 28, mengalami kecederaan patah tangan manakala suaminya, Sabri Botong, 28, cedera ringan.

“Bomba menerima panggilan pada pukul 8.26 malam tadi dan setibanya di tempat kejadian , pasukan mendapati sebuah rumah yang didiami sembilan orang tertimbus oleh tanah runtuh. Lima ahli keluarga selamat.

“Mangsa berusia dua tahun (Isa) telah dihantar untuk mendapatkan rawatan ke hospital (HQE) sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian, dua lagi yang tertimbus berjaya dikeluarkan bomba dan orang awam,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Misran berkata mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan dikejarkan ke hospital dengan menggunakan jentera EMRS serta ambulans.

Katanya, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama tiga jentera dan 12 anggota dari BBP Lintas bersama dua jentera terlibat dalam operasi tersebut. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.