Dana Kebudayaan ASEAN luluskan RM445 ribu untuk dua projek budaya di Malaysia

Spread the love

KUCHING, 28 Julai : Dana Kebudayaan ASEAN (ACF) meluluskan peruntukan kira – kira RM445 000 untuk melaksanakan dua projek berkaitan budaya di Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Saraya Arbi berkata, projek berkenaan ialah ‘The ASEAN Workshop on Sustainable Heritage Food Packaging and Commercialisation for the World Market’ oleh Jabatan Warisan Negara dan ‘The Echoes of ASEAN Bronze’ yang akan dilaksanakan Istana Budaya.

Katanya, kedua-dua projek berkenaan dijangka akan bermula pada tahun depan.

“Menerusi kelulusan itu, setiap projek akan menerima anggaran sekitar RM222 000,” katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Saraya Arbi

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Kebudayaan ASEAN kali ke-23 dan Mesyuarat kali ke-11 ASEAN Campur Tiga Cultural Cooperation Network Meeting (APTCCN), di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Nancy berkata, MOTAC akan meneruskan usaha untuk mempromosi keunikan budaya Malaysia yang merangkumi pelbagai aspek ke seluruh dunia.

“Pada masa sama, MOTAC juga akan menyokong sepenuhnya projek dan program yang meraikan kekayaan budaya dan warisan ASEAN.

“Saya yakin perbincangan kami mengenai projek kebudayaan semasa mesyuarat ini akan membuahkan hasil bersama yang positif untuk rantau ini,” ujarnya.

Mesyuarat berkenaan dihadiri 12 delegasi termasuk dari Korea Selatan, Myanmar, Brunei, Indonesia, Thailand, Laos dan Filipina. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.