JDT sahkan ‘perpisahan’ dengan Benjamin Mora

Spread the love

KUCHING, 27 Julai : Kelab bola sepak, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan Ketua Jurulatih mereka, Benjamin Mora telah kembali ke Mexico untuk menyelesaikan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan.

Menerusi kenyataan di Facebook JOHOR Southern Tigers, kelab itu menjelaskan mereka menghormati keputusan berkenaan.

Pada masa sama, penyandang kejuaraan Liga Super itu menjelaskan, pintu sentiasa ‘terbuka’ untuk pengendali berusia 43 tahun itu kembali pada masa hadapan.

“Benjamin merupakan jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan membawa JDT ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.

“Benjamin telah mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan,” kata kelab itu.

Sejak beberapa hari lepas, khabar angin bertiup kencang mengenai sebuah pasukan Liga Super yang dikatakan akan ‘menggantikan’ Ketua Jurulatih mereka.

Mora kali terakhir tampil berasama JDT ialah ketika pasukan itu menentang Sabah di Stadium Likas pada 15 Julai lepas yang menyaksikan Harimau Selatan menang 2-1.

Dua perlawanan terakhir ketika pasukan Merah Biru itu menentang Pulau Pinang FC dan Melaka United FC, kelibat jurulatih itu tidak kelihatan sekaligus menimbulkan pelbagai spekulasi.

Mengakhiri hantaran berkenaan, kelab itu turut merakamkan penghargaan kepada Mora.

“Terima kasih, Benjamin. Anda akan selamanya menjadi sebahagian daripada Keluarga JDT. Jumpa lagi,”ucap JDT.

Sementara itu, pasukan JDT kini berada di Kuching untuk perlawanan Liga Super menentang Sarawak United di Stadium Negeri Petra Jaya malam ini.

Sehingga tengah hari tadi, difahamkan kesemua tiket perlawanan telah habis dijual.

Pada pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim, pasukan itu mencatatkan kemenangan besar 6 -0 ke atas Kenyalang Emas. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.