Jangan tukar rentak lagu asal sesuka hati – Hafiz Suip

Spread the love

KUCHING, 27 Julai : Penyanyi popular, Hafiz Suip tidak mempunyai masalah sekiranya ada artis baharu yang ingin merakamkan semula lagu popularnya dan memuat naik di laman sosial jika ‘kena caranya’.

Ujar penyanyi yang popular dengan lagu Awan Nano itu, sebenarnya tidak semua lagu ‘sesuai’ untuk diubah rentak kerana dikhuatiri akan ‘menghilangkan’ keaslian lagu berkenaan.

“Kita tidak boleh melarang kerana tidak mempunyai undang – undang untuk berbuat demikian.

“Saya faham melalui platform itu mereka berpeluang untuk menunjukkan bakat cuma jika dilihat aspek kualiti, mungkin agak kurang,”katanya kepada TVS baru – baru ini.

Bekas pemenang Anugerah Juara Lagu sebanyak dua kali itu berkata demikian ketika diminta mengulas isu penyanyi baharu yang merakam semula lagu popular lama dan menukar rentak sehingga menjadi pendebatan di laman sosial.

Sebelum ini, penyanyi legenda, Dato Hattan menegur penyanyi baharu Indonesia, Raffa Affar yang merakamkan semula lagu Tiara namun menukar ke versi slow rock .

Menurut Hattan, penyanyi baharu yang berbuat demikian perlu menghormati karya asal dan tidak ‘mengubah’ dengan terlalu ketara.

Dalam soal ini, Hafiz berkata, sekiranya perkara itu terus berleluasa, komposer merupakan pihak yang akan lebih berasa kecewa.

“Sebagai penyanyi, saya hanya mempopularkan lagu – lagu berkenaan,” katanya.

Sementara itu, selepas hampir tiga tahun ‘sepi’, Hafiz berkata, dia sudah bersedia untuk kembali menggegarkan dunia seni tempatan.

Hafiz, 32, dianggap antara penyanyi lelaki terbaik di Malaysia kerana bakat besar dan pencapaian hebat yang dilakarnya dalam dunia hiburan.

Seperti artis lain, sejak pandemik COVID-19 tercetus, dia turut memperlahankan langkah seninya.

Namun, bekas pemenang Anugerah Juara Lagu sebanyak dua kali ini berkata, peralihan ke fasa endemik ketika ini membolehkan anak seni kembali berkarya dan dia juga mempunyai ‘buah tangan’ baharu untuk peminatnya.

“Saya akan mengeluarkan single baharu pada tahun depan,” katanya tanpa mengulas dengan lebih terperinci.

Hafiz memberi ‘salam perkenalan’ kepada industri nyanyian tempatan apabila menjuarai sebuah pertandingan realiti lebih 12 tahun lepas.

Sejak itu penyanyi ini tidak menoleh ke belakang lagi apabila tampil dengan banyak lagu popular termasuklah Bahagiamu Deritaku, Kisah Cinta Kita, Noktah Cinta, Ku Akui dan Masih Jelas.

Hafiz turut merakamkan lagu duet popular bersama penyanyi nombor satu negara, Dato Sri Siti Nurhaliza berjudul Muara Hati.

Dia turut bergandingan dengan Adira menerusi lagu Ombak Rindu yang telah mencetuskan fenomena pada 2011. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.