IKMAS bercadang tawar kursus baharu

Spread the love

KUCHING, 27 Julai : Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) berhasrat untuk mengembangkan program pengajiannya dengan meneroka kerjasama dengan institusi pengajian lain.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, ini kerana pihaknya ingin menyediakan peluang yang lebih besar kepada pelajar di Sarawak menyambung pengajian.

“Setakat ini kami bekerjasama dengan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) untuk membantu pelajar mendapat kemahiran teknologi digital.

“IKMAS juga mahu mempelbagaikan dan menambah bidang pengajian baharu,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada bertemu, Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di kediaman rasminya di Demak Jaya semalam.

Yang turut hadir, Mufti Sarawak, Datu Kipli Yasin, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Khalidi Ibrahim.

Menurut Hakimah, kunjungan itu bertujuan untuk menjemput Abdul Taib menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-18 IKMAS pada 9 Ogos ini di Dewan Majlis Islam Sarawak.

Seramai 178 pelajar akan menerima sijil dan diploma pada majlis itu yang menggabungkan graduan sesi 2020, 2021 dan tahun ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.