Hotel musnah dalam kebakaran

Spread the love

ALOR SETAR, 27 Julai : Sebuah hotel dua tingkat musnah, manakala rumah kedai serta kedai makanan di sebelahnya mengalami kerosakan akibat kebakaran di Jalan Limbong Kapal, di sini awal pagi ini.

Difahamkan beberapa kejadian kebakaran kecil pernah dilaporkan di hotel berkenaan dalam tempoh dua minggu lepas, namun kebakaran pagi ini memusnahkan hotel itu sama sekali. 

Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Bomba Mohd Naim Mat Jaaffar berkata empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar dan Jalan Raja bergegas ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.26 pagi.

“Struktur hotel yang diperbuat daripada 90 peratus kayu dan 10 peratus batu itu menyebabkan api merebak dengan cepat. Peratus kemusnahan bagi hotel adalah 90 peratus, bangunan kedai makan 20 peratus manakala bangunan rumah kedai lima peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata punca kebakaran masih dalam siasatan dan anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM turut digunakan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.50 pagi tadi.

Sementara itu seorang peniaga makanan yang terjejas akibat kebakaran itu berharap satu siasatan menyeluruh dapat dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang menyebabkan mereka mengalami kerugian.

Pembantu pengurus bangunan sebuah kedai makan Mohd Firdaus Abdul Rahman, 38, berkata dia mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.30 pagi selepas dihubungi seorang pekerja kedai bunga yang berada berhampiran lokasi kejadian.

“Pekerja kedai bunga itu maklumkan bangunan kedai makan sedang terbakar dan apabila saya sampai, api memang sudah marak dan anggota bomba yang telah berada di situ sedang memadamkan kebakaran.

“Sebelum ini, hotel yang terletak bersebelahan bangunan kedai makan ini sudah lima kali terbakar dalam tempoh dua minggu lalu tetapi tidak melibatkan premis lain, tetapi hari ini nasib tidak menyebelahi kami,” katanya.

Mohd Firdaus berkata 10 peniaga yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman, menjalankan perniagaan di bangunan kedai makan yang beroperasi dari pukul 4 petang hingga 12 tengah malam itu, sejak tujuh tahun lepas.

“Kebakaran kali ini telah menyebabkan 10 peniaga dan lebih 25 pekerja hilang punca pendapatan. Bangunan utama yang menempatkan kaunter bayaran dan stor menyimpan bekalan makanan serta peralatan lain hangus terbakar dan dianggarkan kerugian melebihi RM50,000,” katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.