PM ingatkan majikan ambil serius pelaksanaan gaji minimum

Spread the love

KUALA LUMPUR, 26 Julai : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan majikan bahawa gaji minimum kini ditetapkan pada kadar RM1,500, berkuatkuasa sejak 1 Mei lepas.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata sehingga Julai ini, berdasarkan statistik MYFutureJobs, lingkungan gaji bagi kekosongan jawatan yang paling banyak ditawarkan di seluruh negara adalah antara RM1,200 hingga RM2,000 sebulan.

“Kerajaan kini giat membangunkan ‘talent pool’ (kumpulan bakat) yang berkemahiran, produktif dan berpotensi tinggi, namun saya sedikit kecewa kerana gaji ditawar majikan tidak setimpal dan berpadanan dengan kelayakan dan kerja dilakukan anak-anak tempatan.

“Sehubungan itu, saya meminta supaya pihak majikan mengambil serius mengenai perkara ini, kerana pekerja merupakan tunjang utama dalam mana-mana organisasi; di mana mereka boleh ‘make or break’ sesuatu perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di sini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz.

Mengulas lanjut Ismail Sabri menggesa Kementerian Sumber Manusia berunding dengan pihak majikan dan wakil-wakil pekerja, bagi mengenal pasti pendekatan dan solusi terbaik kepada masalah ini.

Malah, katanya platform ‘tripartite’ Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan juga boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan konsultasi tiga penjuru, bagi mencapai kata sepakat demi kesejahteraan semua Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri berkata kerajaan amat prihatin dengan keluhan Keluarga Malaysia dan sentiasa mencari kaedah terbaik, bagi menyelesaikan masalah dihadapi mereka termasuk berkaitan pengangguran dan kehilangan pekerjaan.

Jelasnya bagi memastikan perkara ini dapat ditangani dengan efektif, pelbagai inisiatif berkonsepkan ‘jamin kerja’ telah dilaksanakan untuk membantu mereka yang benar-benar terkesan dan memerlukan. 

“Dalam usaha merapatkan jurang penawaran dengan permintaan pekerjaan oleh majikan dan pekerja, sebuah Profiling Kebangsaan perlu dibangunkan, dengan mempergiat usaha pelaksanaan program seru temu (outreach) pemprofilan pencari kerja di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, sejak negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik 1 April lepas, ekonomi negara beransur pulih dan kadar pengangguran menurun pada kadar 3.9 peratus pada April lepas, dengan bilangan penduduk bekerja direkodkan seramai 15.85 juta orang. 

“Perkembangan ini merupakan hasil pelaksanaan inisiatif Kerajaan menerusi kerjasama merentasi kementerian-kementerian, agensi-agensi pelaksana dan industri, sekali gus berhasil membantu menempatkan lebih 558,000 pekerja pada tahun lalu,” katanya.

Selain ekspo Jamin Kerja yang kini sedang berlangsung, beliau berkata di bawah program JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) dan perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs, kira-kira 113,672 ahli Keluarga Malaysia telah dibantu.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga turut melanjutkan tempoh program JKIP yang berakhir 30 Jun lalu kepada 31 Dis ini, dengan tumpuan kepada pengambilan pekerja dalam kategori mudah terjejas seperti golongan Orang Kurang Upaya (OKU), wanita, individu yang hilang pekerjaan, pekerja dalam sektor pelancongan dan bekas banduan.

Beliau turut menyentuh kepentingan penglibatan generasi muda, selain golongan OKU yang kedua-duanya  diberi perhatian kerajaan dengan pelbagai insiatif disediakan dalam menyediakan peluang pekerjaan lebih baik kepada mereka.

Menurutnya, sehingga kini seramai 36,281 OKU berjaya mendapat penempatan pekerjaan menerusi program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh PERKESO.

“Saya juga berharap program pemerkasaan ekonomi bertujuan menarik penyertaan golongan OKU dalam dunia keusahawanan wajar dipergiat, seiring Aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya.

Ekspo mega berkenaan bermula Sabtu lepas sehingga Rabu ini melibatkan penyertaan 1,000 majikan pelbagai sektor yang menyediakan lebih 30,000 pekerjaan.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.