Perodua sumbang peralatan perubatan untuk Hospital Umum Sarawak

Spread the love

KUCHING, 26 Julai : Perodua meneruskan lagi sokongannya terhadap hospital awam dengan menyumbang peralatan diagnostik perubatan untuk Hospital Umum Sarawak di sini, serta hamper kepada para pesakit dan kakitangan.

Perodua menerusi kenyataan memaklumkan inisiatif itu adalah untuk menyokong misi kerajaan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara ini dan pada masa yang sama berterima kasih kepada para petugas barisan hadapan yang berdedikasi.

Perodua menyumbang tujuh unit Vital Sign Monitor (peralatan diagnostik untuk memantau suhu badan, nadi dan kadar pernafasan serta tekanan darah) serta hamper kepada pesakit dan kakitangan di wad kanak-kanak di hospital tersebut, semalam.

Sumbangan keseluruhan bernilai RM84,450 itu disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad kepada pentadbir hospital itu dengan disaksikan oleh para doktor dan kakitangan.

Pada majlis itu, Zainal Abidin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Hospital Umum Sarawak atas khidmat mereka kepada masyarakat dan berharap agar sumbangan itu akan memberi manfaat kepada rakyat Kuching dan Sarawak.

“Menjadi sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab korporat kami, kami sentiasa mencari peluang untuk memberikan bantuan terbaik bagi mengukuhkan sistem kesihatan negara. Oleh itu, kami sentiasa berkomunikasi dengan Kementerian Kesihatan dan pihak-pihak yang berkaitan untuk meneruskan inisiatif kami ini.

“Ini adalah satu daripada cara kami untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia, terutamanya para pelanggan kami yang telah memberikan kepercayaan dan sokongan kepada kami selama ini,” katanya.

Majlis penyerahan tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd JH Rozman Jaafar, Pengarah Hospital Umum Sarawak Dr Ngian Hie Ung dan Timbalan Pengarah (Perubatan) Dr Norinawaty Abg Daud.

Sehingga kini, Perodua telah menyumbangkan peralatan perubatan dan kesihatan kepada hospital awam termasuk Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, Hospital Shah Alam, Hospital Kuala Kubu Bharu, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Hospital Ampang, Hospital Putrajaya dan beberapa klinik komuniti di dalam daerah Hulu Selangor.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.