Parlimen: Jawatankuasa Pilihan Khas mula prosiding isu Tuntutan Kumpulan Sulu 11 Ogos

Spread the love

KUALA LUMPUR, 26 Julai : Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa akan memulakan prosiding berhubung isu Tuntutan Kumpulan Sulu ke atas Aset-aset Negara pada 11 Ogos, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 83(4) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pengerusinya Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) berkata prosiding berhubung isu itu wajar dimulakan selepas beberapa usul yang dikemukakan beberapa Ahli Parlimen menurut Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) ditolak untuk dibahas dalam Dewan Rakyat.

“Maka jawatankuasa ini telah berbincang dan berpandangan bahawa tuntutan itu (kumpulan Sulu) adalah isu yang sangat serius dan sekiranya tidak ditangani dengan baik berpotensi menjejaskan kepentingan negara.

“Sehubungan itu jawatankuasa ini mengambil keputusan, selaras peranannya seperti ditetapkan oleh Dewan Rakyat untuk menjalankan peranan semak dan imbang terhadap tindakan kerajaan serta memartabatkan institusi demokrasi berparlimen,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai permulaan, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipanggil bagi menghadiri prosiding itu.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas), Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort), Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat), Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu), Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) dan Awang Husaini Sahari (PH-Putatan). – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.