Kuching turut dilanda ‘demam’ kunafa, 45 minit sudah habis

Spread the love

KUCHING, 27 Julai : Fenomena ‘kunafa’ yang sedang melanda seluruh negara kini turut dirasai di bandar raya ini.

Foto orang ramai beratur panjang di beberapa kedai yang menjual pemanis mulut berwarna keemasan itu juga semakin kerap dikongsi oleh pengguna media sosial.

Di bandar raya ini, peniaga kunafa turut mengaut laba besar.

Seorang peniaga, Syazwan Ahai berkata, dia ‘terkesima’ melihat pelanggannya sanggup beratur panjang sehingga 45 minit sebelum boleh membeli hidangan itu.

Ditemu bual menerusi program Sejahtera Asia terbitan TVS, Syazwan berkata, dia menjual hidangan yang berasal dari Timur Tengah itu sejak dua tahun lepas.

Katanya, dia bermula dengan menjual kunafa dalam bentuk sejuk beku.

“Ketika itu, jualan kunafa frozen saya mendapat sambutan yang menggalakan daripada pelanggan.

“Kini, apabila viral mengenai kunafa, kedai saya turut diserbu malah ada yang sudah beberapa kali datang namun masih sik sempat beli kerana kehabisan stok,”katanya.

Menurutnya, idea untuk menjual kunafa itu timbul disebabkan ‘sejarahnya’ dengan Tanah Arab.

“Sebenarnya, selepas menamatkan pengajian dan pulang ke Malaysia, saya teringin mahu makan kunafa seperti di sana, jadi saya beli bahan dan terus buat, hasilnya menjadi,” katanya.

Namun Syazwan mengakui, bahan untuk membuat kunafa sukar didapati di Sarawak.

“Seorang kawan di Arab kemudian mencadangkan supaya saya menggabungkan ‘cheese mozerela dan ‘eastern cheese’ bagi menggantikan ‘cheese’ yang digunakan oleh pembuat kunafa di Arab,”katanya.

Pada masa hadapan, anak muda ini bercadang untuk mempelbagaikan lagi manisan Arab untuk dijual di Sarawak.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.