Dua lelaki didakwa bunuh warga Pakistan

Spread the love

PETALING JAYA, 26 Julai : Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Pakistan di sebuah kondominium di Kelana Jaya, awal bulan ini.

S. Kumara Rao, 55, dan R. Ramesh, 45, didakwa bersama-sama membunuh Qadir Muhammad, 35, di Tower A-17-12, Bangunan Zenith Residence Corporate Park, Jalan SS 7/26, Kelana Jaya, pada 8.48 malam, 11 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan dua lelaki tempatan dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat lelaki dalam keadaan bogel selepas terjatuh dari tingkat 17 kondominium di Kelana Jaya, 12 Julai lepas. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.