Dewan Rakyat lulus Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022

Spread the love

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 yang diharap dapat menjamin kesejahteraan sosial suri rumah, keluarga dan masyarakat menerusi skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang bakal diwujudkan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim ketika membentangkan rang undang-undang yang mengandungi 11 bahagian, 97 fasal dan lapan jadual itu untuk bacaan kali kedua hari ini, berkata pelaksanaan SKSSR oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah perluasan jaringan keselamatan sosial kepada kumpulan masyarakat yang tidak dilindungi selama ini. 

“Golongan ini turut sama terdedah dengan pelbagai masalah seperti kemalangan, penyakit, keilatan, masalah rumah tangga atau kenaikan kos sara hidup tanpa sokongan dari aspek bantuan kewangan dan penjagaan kebajikan.  

“Golongan ini juga perlu diberi perlindungan sewajarnya kerana mereka merupakan tulang belakang kepada ahli keluarga dan masyarakat dalam meneruskan kehidupan seharian dan menyumbang kepada keharmonian rumah tangga,” katanya.

Mengenai had umur bagi perlindungan suri rumah, Awang berkata rang undang-undang itu hanya terpakai bagi suri rumah berumur kurang 55 tahun dan tidak terpakai untuk suri rumah yang mencapai umur 54 tahun serta tidak pernah mencarum dengan SKSSR.

Berhubung cadangan beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai menambah umur kelayakan liputan perlindungan kepada 60 tahun bagi SKSSR, beliau berkata had umur 55 tahun ditentukan sebagai liputan lindungan dan supaya skim itu diselaras dengan program i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Selain itu, kementerian turut mengambil kira suri rumah yang mempunyai simpanan KWSP boleh mengeluarkan simpanan KWSP apabila mereka mencapai umur 55 tahun manakala bagi suri rumah yang mempunyai anak mereka adalah cukup dewasa untuk menyara suri rumah berkenaan,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu. 

Selain itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk memberikan perlindungan menerusi skim itu kepada senarai suri rumah miskin tegar yang diambil daripada skim i-Suri pada tahun pertama caruman. 

Mengenai caruman oleh suami kepada suri rumah bagi SKSSR, beliau berkata sekiranya suami mendaftar untuk membayar caruman bagi suri rumah menerusi skim itu, suami diwajibkan membayar caruman itu sebelum tempoh perlindungan tamat untuk memastikan kesinambungan perlindungan.

Rang undang-undang itu menyebut suri rumah yang mencarum dalam skim itu berhak mendapat faedah hilang upaya seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal elaun layanan sentiasa, pencen penakat dan faedah pengurusan mayat. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.