Cadangan perjanjian baharu ganti MA63 terpesong daripada perjuangan nasionalisme -Maximus Ongkili

Spread the love

KUALA LUMPUR, 26 Julai : Cadangan mengadakan perjanjian baharu bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan pandangan yang terpesong daripada perjuangan nasionalisme negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata sekiranya MA63 diabaikan, ia bermakna membelakangkan Persekutuan Malaysia.

“Perjanjian Malaysia 1963 adalah dokumen ‘suci’ dan asas pembentukan Persekutuan Malaysia, yang bermaksud jika tiada MA63, tiadalah Malaysia.Tiada siapa yang harus mengubah perjanjian asas yang membawa kepada pembentukan Malaysia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) mengenai pandangan kerajaan terhadap cadangan beberapa ahli politik termasuk Ahli Parlimen Keningau berhubung keperluan perjanjian baharu bagi menggantikan MA63 dan implikasinya kepada Wilayah Sabah dan Sarawak.

Menurutnya MA63 amat penting kerana tanpanya tidak akan ada rujukan dan asas untuk membincangkan isu-isu yang dapat memberikan manfaat kepada Sabah dan Sarawak.

“Kita harus memberi tumpuan kepada perkara seperti sama ada perkara yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia telah dipatuhi dan sama ada hak itu ada yang masih belum dipenuhi, maka tanggungjawab kita untuk sama-sama memastikan ia dilaksanakan,” katanya.

Ongkili turut mengingatkan semua supaya bersatu padu membina keamanan dan perpaduan di negara ini serta mengelak daripada bermain dengan semantik dan politik yang boleh mengganggu gugat kesatuan Keluarga Malaysia.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Gapari Katingan (STAR-Keningau) bangun mengakui pernah membuat kenyataan berhubung perkara itu.

“Kini, kerajaan telah mengambil langkah untuk melaksanakan dan menghormati kandungan Perjanjian MA63, maka apa yang saya cadangkan pada waktu itu tidak lagi relevan,” katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.