Cadangan perjanjian baharu ganti MA63 antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Spread the love

KUALA LUMPUR, 26 Julai : Perihal berhubung cadangan beberapa ahli politik untuk mewujudkan perjanjian baharu bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bakal menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, soalan mengenai perkara itu akan diajukan Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri, selain implikasi kepada Wilayah Sabah dan Sarawak sekiranya MA63 dibatal dan digantikan dengan perjanjian baharu. 

Turut tersenarai, soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang meminta Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan kaedah penyelesaian bagi memastikan keselamatan rakyat dijamin khususnya penduduk di sekitar Gunung Inas Baling di Kedah berikutan insiden kepala air yang berlaku baru-baru ini.

Pada sesi soal jawab pula, Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) akan mengajukan soalan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai tindakan kerajaan terhadap pihak yang menawarkan perkhidmatan badal haji pada harga tidak munasabah dengan kebanyakannya bermotifkan penipuan serta usaha memastikan perkara itu dibanteras secara menyeluruh.

Selain itu, Tengku Zulpuri Raja Puji (PH-Raub) mahu Menteri Kewangan menyatakan langkah berkesan menangani kemerosotan ekonomi negara, kejatuhan nilai ringgit serta kenaikan kos kehidupan yang semakin ketara.

Dewan Rakyat juga bakal tertumpu kepada pembentangan Rang Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 bacaan kali pertama.

Selain itu, sesi perbahasan melibatkan pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 bagi bacaan kali kedua.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.