RUU berhubung anti lompat parti dibahas pada 27 dan digulung 28 Julai – Wan Junaidi

Spread the love

KUALA LUMPUR, 25 Julai : Undang-undang berhubung anti lompat parti akan dibentang pada 27 dan jika tiada halangan akan digulung keesokan harinya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata Rang Undang-Undang (RUU) berhubung peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti itu juga, telah menjalani banyak sesi libat urus sejak Januari lepas, sekali gus sudah lazim diketahui dalam kalangan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Tambah beliau, corak bagi RUU itu juga berlainan jika dibandingkan dengan undang-undang sedia ada, berikutan ia dibuat Jawatankuasa Pilihan Khas dan dicetak oleh pihak Parlimen, dan bukannya dibuat dari kamar Jabatan Peguam Negara.

“Jadi saya nak jelaskan di situ, prosedur RUU itu sendiri, semua Ahli Parlimen sudah tahu. Insya-Allah, pada 27 ia akan dibahas dan pada 28 petang, jam 2.30, insya-Allah saya akan menggulungnya.

“Kalau tiada halangan, Ahli Parlimen setuju (dengan RUU itu), kita akan dapat menamatkan dan menyelesaikan perkara itu sebelum pukul 5.30 petang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis anugerah Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2021 di sini, hari ini.

Terdahulu beliau memaklumkan, libat urus Bahagian Hal Ehwal Undang-undang dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bersama Ahli Dewan Rakyat kerajaan, akan diadakan pada 25 Julai dan libat urus bersama Ahli Dewan Rakyat pembangkang pada keesokan harinya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai akta berhubung kebankrapan, beliau berkata kerajaan sedang mengkaji mekanisme mengikut model negara lain, untuk menangani masalah muflis dengan berkesan.

Katanya, walaupun kerajaan sudah meningkatkan nilai ambang dari RM50,000 ke RM100,000 pada 2020, namun beliau berpendapat meningkatkan nilai ambang baharu kepada jumlah yang lebih tinggi kini, adalah bukan satu penyelesaian yang baik, khususnya dengan kesan susulan impak COVID-19.

“Walaupun ia (peningkatan nilai ambang) boleh bertahan buat sementara tetapi kita perlu mencari mekanisme terbaik mengikut model negara lain… Dan kajian ini sudah dibuat, saya tidak boleh berjanji bila satu-satu pindaan boleh dibuat, menerusi libat urus dengan semua pihak, Bank Negara Malaysia (BNM), persatuan bank dan sebagainya.

“Kita mesti ingat satu perkara yang penting, kita sedang bergerak ke arah negara usahawan menjelang 2030, kalau ramai sangat terbabit dengan muflis ini, anak belia kita lari daripada berusaha, akan membantutkan usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara peniaga,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan undang-undang berhubung muflis itu diwujudkan pada zaman British, dan belum pernah diubah secara menyeluruh.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.