Pengasas Kumpulan EMKAY meninggal dunia

Spread the love

KUCHING, 25 Julai : Pengasas Kumpulan EMKAY, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar meninggal dunia pagi tadi.

Allahyarham yang berusia 73 tahun menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.45 pagi kerana sakit tua di Institut Jantung Negara (IJN) seperti disahkan oleh anaknya, Felina kepada Bernama.

Difahamkan jenazah masih berada di IJN dan keluarga sedang membuat persiapan bagi proses selanjutnya dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara hari ini.

Allahyarham merupakan antara tokoh korporat terkemuka dalam bidang hartanah di negara ini.

Syarikat hartanah milik Allahyarham ditukar nama kepada MK Land Holdings Bhd selepas disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Bursa Malaysia) pada Ogos 1999.

Allahyarham dilahirkan di Kampung Changkat yang terletak di Pusing, Perak, pernah mendapat jolokan sebagai ‘Raja Perumahan Mampu Milik’ kerana bertanggungjawab membangunkan lebih 12,000 rumah kos rendah di Selangor dan Perak.

Sementara itu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mustapha Kamal.

“Semoga roh Allahyarham dikurniakan husnul khatimah dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al Fatihah,” katanya menerusi akaun Twitter @AzminAli pada Isnin. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.