Pelihara budaya Lun Bawang

Spread the love

LAWAS, 25 Julai: Perkembangan zaman telah menyaksikan banyak budaya dan adat resam masyarakat Lun Bawang hilang ditelan zaman.

Sehubungan itu, Persatuan Lun Bawang mahupun pertubuhan belia lainnya perlu mengorak langkah menjejaki budaya dan adat yang semakin pupus.

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong menggesa agar persatuan-persatuan Lun Bawang ini bangkit dengan mengadakan program seperti pertandingan tarian lama Lun Bawang, pakaian tradisi Lun Bawang dan syair gurindam Lun Bawang.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Bengkel Asas Tarian Asal Lun Bawang anjuran Saberkas Cawangan Bakelalan di Dewan Masyarakat Trusan semalam.

Seterusnya Henry Sum melihat kepelbagaian budaya dan adat resam kaum-kaum di Sarawak adalah simbol kepada budaya majmuk yang menjadikan perbezaan antara mereka sebagai landasan kepada kehidupan harmoni dan muafakat.

“Mulai hari ini kita galakkan anak-anak mengekalkan budaya tarian lama ini dan meluaskannya melalui berbagai aktiviti seperti ini.

“Satu lagi yang kita kehilangan sekarang ialah budaya syair dan gurindam lama Lun Bawang yang dikenali sebagai Mu Mu yang perlu dijejaki dan dipelihara,” tambahnya.

Mengiringi beliau ialah Exco Saberkas Sarawak Steve Lius, Pengerusi Saberkas Cawangan Bakelalan John Tua, Setiausaha Parti PBB Cawangan Bakelalan Petrus Lasong dan Timbalan Ketua Parti PBB Cawangan Bakelalan Donnie Erwan Baru.- TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.