Para SUKMA 2022 medan cungkil bakat baharu ke temasya utama

Spread the love

KUALA LUMPUR, 25 Julai : Temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 yang dijadualkan bermula 1-6 Nov ini, bakal menjadi medan mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan pada temasya peringkat antarabangsa.

Timbalan Ketua Pengarah (sektor pembangunan sukan) Majlis Sukan Negara (MSN) Suhardi Alias berkata pihaknya mahu mengenal pasti atlet yang mampu menggantikan jaguh-jaguh sedia ada, untuk membawa cabaran negara ke temasya seperti Sukan Para ASEAN 2023 Kemboja, Sukan Para Asia Hangzhou 2022 dan Paralimpik Paris 2024.

“Kita berharap atlet yang mencapai kejayaan cemerlang, bukan sahaja pingat emas, mungkin catatan terbaik, akan diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi untuk kita melatih mereka mencapai hasrat ke Paris 2024.

“Insya-Allah, dengan sokongan padu semua pihak kita yakin dapat menganjurkan program Para Sukma ini, yang mempunyai 10 jenis sukan merangkumi 328 acara dengan jayanya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Detik 100 Hari Para Sukma 2022 di sini, malam ini.

Beliau berkata seramai 1,200 atlet dan 700 pegawai dijangka menyertai temasya bagi golongan kurang upaya itu, namun jumlah sebenar atlet dan acara yang dipertandingkan hanya boleh ditetapkan selepas tarikh tutup pendaftaran pada 31 Julai ini.

Suhardi berkata, had umur penyertaan ke Para Sukma kali ini ditetapkan di antara 14 hingga 45 tahun, iaitu jurang yang lebih fleksibel bertujuan untuk mengenal pasti lebih ramai atlet, selain turut dapat mengetengahkan atlet-atlet dari kawasan luar bandar.

Terdahulu, dua jaguh olahraga yang pernah menggapai kejayaan pingat emas di Kejohanan Dunia dan Paralimpik, Datuk Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi melancarkan Detik 100 Hari Para Sukma dengan sorakan gemuruh lebih kurang 100 atlet para. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.