Tidak mungkin kerajaan adakan PRU15 pada saat akhir – Abdul Karim

Spread the love

SIBU, 24 Julai : Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berpendapat, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak mungkin akan dilangsungkan pada ‘saat – saat akhir’ mandat PRU14.

Beliau yang juga Naib Presiden, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, pada kebiasaannya, pihak yang menjadi kerajaan tidak akan menunggu sehingga tempoh genting itu.

Katanya, kerajaan yang memerintah biasanya akan memilih untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh setahun atau enam bulan sebelum tamat penggal Parlimen.

“Oleh itu, mungkin boleh (berlangsung) hujung tahun ini atau boleh awal tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Kejohanan Sukan Ekstrem MYSED di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II di sini hari ini.

Abdul Karim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa masa terbaik untuk mengadakan PRU15 ialah pada Oktober atau awal November ini.

Sementara itu ketika ditanya mengenai persiapan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri berkata, gabungan empat parti tempatan di Sarawak itu sudah bersedia sekiranya PRU15 berlangsung pada bila – bila masa.

“Jentera kita (GPS) sudah cukup minyak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak juga bersedia kerana saya percaya mereka (SPR Sarawak) sudah melalui proses itu pada tahun lepas (Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak),” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.