Sarawak bersedia bina pusat sukan ekstrem di semua bandar utama

Spread the love

SIBU, 24 Julai : Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak terbuka terhadap cadangan untuk membina kemudahan infrastruktur sukan lasak di beberapa bandar utama di negeri ini.

Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketika ini hanya terdapat satu pusat sukan seumpama itu iaitu Sibu Active Youth Space (SAYS) di sini.

Sehubungan itu katanya, perancangan untuk mewujudkan pusat berkenaan boleh dilaksanakan di Kuching, Miri dan Bintulu.

“Sekiranya ada permintaan, kita akan pertimbangkan untuk menyediakan kemudahan ini kerana kosnya tidak begitu besar malahan dapat mengumpul golongan belia yang berminat dalam sukan ini,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kejohanan Sukan Ekstrem MYSED di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu dan Presiden Persatuan Sukan Ekstrem Sarawak (SESA) Nik Mohd. Suhaily Bahari.

Kejohanan itu disertai lebih 100 atlet sukan lasak termasuk dari Semenanjung Malaysia dan Indonesia.

Abdul Karim berkata, sekiranya pusat sukan lasak berkenaan diwujudkan di beberapa bandar utama di Sarawak , ianya juga boleh mengelakkan golongan itu terlibat dengan aktiviti tidak bermoral.

Berhubung penganjuran sukan lasak di Sibu, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, ianya dapat menyumbang kepada ekonomi dan pelancongan tempatan.

“Atlet yang datang dari luar kawasan sudah tentu akan membawa keluarga dan rakan-rakan.

“Mereka memerlukan tempat tinggal, makanan dan sebagainya, jadi ini akan menyumbang kepada industri kecil seperti perhotelan dan gerai makanan.

“Oleh itu kementerian saya sentiasa menyokong penganjuran acara sukan, kebudayaan dan muzik,” katanya.

Kejohanan tiga hari itu bermula pada Jumaat lepas dengan mempertandingkan empat kategori iaitu BMX Stun, Flatland challenge’ (BMX), roller blade dan skateboarding challenge. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.