PDRM mengenang ASP Aldrin Gonda sempena Hari Pahlawan

Spread the love

KUCHING, 24 Julai : Menjelang tujuh hari sebelum sambutan Hari Pahlawan 2022, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tampil memberi penghormatan kepada pegawainya yang meninggal dunia ketika menjalankan tugas.

Menerusi hantaran di Facebook PDRM, dikongsikan penghargaan kepada Mendiang Asisten Superintendan (ASP) Aldrin Gonda yang meninggal dunia ketika bertugas di Kedah, kira – kira dua tahun lepas.

“Sekalung penghormatan dan ingatan tulus ikhlas buat seluruh wira dan wirawati negara yang telah pergi buat selama – lamanya.

“Tidak mampu dibalas dengan apa jua kemewahan di dunia ini atas bakti serta pengorbanan yang anda curahkan, demi melihat bumi Malaysia kekal harmoni hingga ke penghujungnya, terima kasih wira dan wirawati negara,” tulis catatan berkenaan hari ini sambil berkongsi gambar mendiang.

Pada 19 April 2020 Aldrin, 38, yang juga Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kedah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika sedang bertugas.

Aldrin ketika itu dalam perjalanan ke Pantai Johor selepas menerima maklumat berkaitan tangkapan dadah dalam Op COVID-19.

Setibanya di lampu isyarat Arkib Negara, kereta peronda dinaiki bersama dua anggotanya terbabas lalu terbalik ketika mengelak sebuah motosikal yang mengubah dari lorong kiri ke lorong kanan.

Mendiang yang berasal dari Serian, Sarawak meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Aldrin meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki yang berusia enam tahun ketika itu.

Sementara itu Facebook IPD Kota Setar yang merupakan ‘tempat bertugas terakhir’ Aldrin turut berkongsi hantaran berkenaan.

“Kami sentiasa merindui kamu Sir, Terima kasih atas segala kenangan bersama kami di Kota Setar, ASP Aldrin aka Pablo,” tulis hantaran berkenaan.

Seorang pelayar di akaun berkenaan, Caeins Pidas turut berkongsi kenangan bersama Aldrin.

“Seorang pegawai yang mesra dengan anggota bawahan,”tulisnya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.