Lima sekeluarga maut dalam kemalangan di Gerik

Spread the love

IPOH, 23 Julai : Lima sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di jalan raya Timur Barat arah Gerik-Jeli berdekatan Hentian Titiwangsa di Gerik hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata Balai Bomba dan Penyelamat Gerik menerima panggilan mengenai nahas itu pada 3.45 petang.

Beliau berkata kemalangan itu menyaksikan kesemua mangsa yang disahkan meninggal dunia menaiki Perodua Alza manakala dua lagi, yang menaiki pacuan empat roda Toyota Hilux, hanya cedera ringan.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Rodhi Othman, 58; Ahmad Khomaini Abu, 30;  Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59; Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 5 tahun.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jeli, Kelantan untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah operasi tamat sepenuhnya pada 7 malam tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kedua-dua kenderaan masing-masing dinaiki lima orang.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Zulkifli Mahmood pula berkata kesemua mayat dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan waris telah dimaklumkan untuk proses selanjutnya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.