Suku akhir Piala FA : Sabah FC disingkirkan Selangor di Likas

Spread the love

KOTA KINABALU, 23 Julai : Impian Sabah FC untuk mara ke separuh akhir Piala FA 2022 berkecai selepas tumpas 0 – 2 kepada Selangor FC pada suku akhir di Stadium Likas, sebentar tadi.

Sabah FC yang menampilkan aksi mantap dalam saingan Liga Super musim ini dikejutkan seawal minit pertama permainan menerusi ‘sepakan mengejut’ pemain import pelawat, Hyuri Henrique.

Henrique yang ‘menerima’ bola dari tengah padang tenang menyudahkan peluang terhidang sekaligus menewaskan penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi.

Sabah yang beraksi di hadapan lebih 10,000 penyokong kemudian mula memperkemaskan rentak permainan dalam usaha mencari gol penyaman namun kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, jangkaan untuk menyaksikan tuan rumah mengasak ke kubu Selangor tidak menjadi kenyataan.

Selangor sebaliknya berjaya menahan setiap asakan dan bijak mencuri peluang untuk menyingkirkan Sang Badak.

10 minit sebelum permainan tamat, Herlison Caion turut mencetak nama selaku penjaring gol kedua Selangor untuk pelawat mendahului 2 -0.

Jaringan itu kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan Sabah FC tersingkir daripada saingan Piala FA. -tvs


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.