Pesakit pertama cacar monyet di Thailand hilangkan diri

Spread the love

BANGKOK,  23 Julai : Pesakit cacar monyet pertama Thailand menghilangkan diri di  pulau peranginan Phuket sebaik beliau dimaklumkan mengenai keputusan ujian saringannya.

Pegawai kesihatan dan pihak berkuasa tempatan sedang mempergiat usaha untuk mengesan lelaki berusia 27 tahun itu untuk memberikan rawatan perubatan yang sewajarnya dan membendung penularan penyakit berkenaan.

Ketua Kesihatan Wilayah Phuket Dr. Kusak Kukiattikoon berkata lelaki itu mengalami simptom seperti demam, batuk, sakit tekak, hidung berair dan ruam sejak seminggu lalu dan pada 16 Julai dia diminta menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian makmal.

Bagaimanapun, katanya lelaki itu telah keluar dari apartmennya dan mendaftar masuk ke sebuah hotel selepas dimaklumkan mengenai keputusan ujian saringannya pada 18 Julai.

Keesokan hari lelaki yang telah tinggal melebihi tempoh itu keluar dari hotel dan telefon bimbitnya turut dimatikan.

“Pihak berkuasa kesihatan sedang berusaha mengesan kontak rapat. Sehingga kini, lebih 150 individu telah berhubung dengan lelaki itu. Sehingga kini, tiada seorang pun daripada mereka disahkan positif cacar monyet,” katanya pada sidang media di Phuket.

Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 11 kontak rapat menjalani kuarantin di rumah selama 21 hari.

Sementara itu, Ketua Polis Phuket Mejar Jeneral Sermpan Sirikong berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lelaki itu kali terakhir dilihat di lobi hotel pada Rabu.

“Saya rasa dia mungkin sudah keluar dari Phuket,” katanya. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.