Penyu agar ditemukan mati, dipercayai akibat unsur khianat

Spread the love

KUALA TERENGGANU, 23 Julai : Satu lagi bangkai penyu agar ditemukan terdampar di Pantai Teluk Bidara dekat Dungun hari ini yang dipercayai mati akibat unsur khianat.

Pengurus Projek Konservasi Lang Tengah Turtle Watch di Tanjong Jara Resort Abidah Zaaba berkata beliau menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira 8 pagi tadi dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata terdapat batu bata yang diikat pada bahagian kepala dan kaki depan penyu tersebut dipercayai bertujuan membataskan pergerakan haiwan itu dan menenggelamkannya ke dasar laut.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini berkemungkinan dilakukan oleh nelayan kerana mahu menyelamatkan pukat mereka yang dimasuki penyu secara tidak sengaja.

“Namun sukar dipastikan sama ada penyu itu sudah mati atau masih hidup ketika ditenggelamkan ke dalam laut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Khamis lepas, seekor penyu agar betina ditemukan mati terapung di perairan Pulau Kapas dekat Marang dengan kesan kelaran di bahagian lehernya, dipercayai sebagai jalan singkat nelayan untuk menyelamatkan pukat mereka.

Mengulas lanjut, Abidah berkata bangkai penyu yang ditemukan pagi tadi sudah membusuk dan dipercayai mati kira-kira seminggu lepas.

“Berdasarkan ukuran panjang dan lebarnya, kita anggarkan umurnya antara 15 hingga 20 tahun namun  jantinanya gagal dikenal pasti kerana bahagian ekor sudah reput dengan teruk,” katanya yang berharap tindakan tegas diambil segera untuk memastikan kematian penyu seperti itu tidak berulang. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.