Kerajaan fokus atasi kemiskinan di Kelantan, gerakkan ekonomi – Perdana Menteri

Spread the love

KOTA BHARU, 23 Julai : Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha mengatasi kadar kemiskinan di Kelantan melalui pelbagai inisiatif, termasuk menyediakan peruntukan RM124 juta khusus kepada 590,000 penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) di negeri itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata selain itu kaedah menangani miskin tegar dengan kaedah baharu secara holistik melibatkan semua kementerian, agensi, swasta, universiti, badan bukan kerajaan dan pemimpin tempatan sedang dilaksanakan kerajaan.

Katanya di Kelantan, bagi memastikan ekonomi negeri digerakkan sepenuhnya, Tok Bali disasarkan menjadi pusat pertumbuhan baharu dalam menyumbang ke arah mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM2.3 bilion, dan dijangka menjana 4,200 peluang pekerjaan baharu di samping 270 peluang keusahawanan.

“Tok Bali disasarkan menjadi pusat pertumbuhan baharu menerusi insentif cukai khas serta projek berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) iaitu Taman Industri Tok Bali (TBIP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan infrastruktur luaran bagi pelabuhan Tok Bali,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan, di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga akan membina sebuah kompleks digital pelbagai guna berkonsepkan hiburan sukan, melibatkan kos RM6 juta, di kawasan seluas 23 hektar di Ketereh.

Sementara itu menurut Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM2.6 bilion melibatkan 88 projek merangkumi 64 projek sambungan dan 24 projek baharu di Kelantan.

“Pakej Central Spine Road (CSR) sepanjang 191 kilometer (km) dengan kos RM7.7 bilion antara Gua Musang hingga Kuala Krai yang dijangka siap pada tahun 2026, akan memudahkan perjalanan rakyat serta meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat,” katanya.

Ismail Sabri berkata Kelantan juga akan memperoleh manfaat daripada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menghubungkan Kota Bharu ke Pelabuhan Klang, yang mempunyai dua stesen iaitu stesen penumpang dan kargo di Pasir Puteh dan stesen penumpang di Tunjong, Kota Bharu.

Selain itu, projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang dijangka siap pada 2025 mampu menampung kapasiti penumpang daripada 1.5 juta kepada empat juta setahun, manakala pembinaan Jambatan Palekbang di Tumpat yang dijangka siap pada 2025 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan baharu di negeri itu.

“Dalam bidang kesihatan pula, sebanyak 12 projek pembinaan klinik kesihatan serta kuarters dijangka siap dibina pada tahun ini, manakala dua lagi projek dalam pembinaan iaitu di Gua Musang dan hospital Bachok yang merangkumi 76 buah katil, dijangka siap tahun hadapan,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.