Kanak-kanak empat tahun didera ibu angkat ditempatkan di pusat jagaan JKM

Spread the love

ALOR SETAR, 23 Julai : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menempatkan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang disyaki didera ibu angkatnya, di pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kanak-kanak itu yang kini sedang menerima rawatan lanjut di hospital akan ditempatkan di pusat jagaan itu sehingga perbicaraan kes berkenaan selesai.

“Pihak JKM telah hadir ke hospital bersama pelindung kanak-kanak untuk meneruskan siasatan selain memastikan dia dijaga dengan lebih baik.

“Apa yang penting sekarang ialah kita mahu pastikan kanak-kanak itu terus berada dalam keadaan yang sihat apabila dibenarkan keluar dari hospital nanti,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kes penderaan membabitkan kanak-kanak itu, di sini hari ini.

Baca > > > Enggan makan nasi, kanak-kanak perempuan dipukul dengan penyapu dan dicucuh pemetik api

Baru-baru ini, tular video berdurasi 27 saat memaparkan seorang wanita yang dipercayai ibu angkat kepada kanak-kanak berusia empat tahun tersebut telah memukul anak angkatnya itu menggunakan kayu penyapu hanya kerana mangsa enggan makan nasi.

Sementara itu, Rina berkata pihaknya turut berterima kasih kepada individu yang melaporkan kejadian berkenaan dan berharap masyarakat umum sentiasa prihatin serta cakna dengan kes penderaan yang mungkin berlaku di sekeliling mereka.

“Sekiranya ada yang mengetahui kes penderaan, perkara pertama yang mereka boleh lakukan ialah buat laporan polis atau menghubungi Talian Kasih menerusi talian bebas tol 15999. Mereka juga boleh terus pergi ke mana-mana Pejabat JKM yang terdekat untuk melaporkan kejadian itu,” katanya.

Terdahulu, Rina merasmikan Program Jerayawara dan Karnival Bangkit Wanita KPWKM Zon Utara di pusat beli-belah Aman Central yang berlangsung tiga hari bermula semalam, bertujuan memberi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan menerusi keusahawanan kepada golongan wanita.

“Hampir 5,000 peluang pekerjaan dan keusahawanan ditawarkan dalam program ini. Kementerian ingin membantu golongan wanita meningkatkan taraf ekonomi keluarga kerana ramai yang terkesan dalam tempoh dua tahun sebelum ini akibat pandemik COVID-19.

“Sehingga Julai ini, program Bangkit Wanita telah membantu lebih 40,000 wanita di seluruh negara dan diharap ia dapat membantu lebih ramai lagi wanita untuk keluar daripada kepompong kemiskinan, selain memberi semangat untuk mereka terus bangkit,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.