Ahli perniagaan Malaysia ditahan di Thailand akan diusir

Spread the love

BANGKOK, 23 Julai : Visa ahli perniagaan Malaysia yang menjadi buruan Teow Wooi Huat telah dibatalkan dan sedang menunggu untuk diusir keluar oleh pihak berkuasa Thailand.

Penguasa Polis Sadao Kolonel Bunthaeng Laocharoen memberitahu Bernama, Teow, 55, pengasas MBI Group International, telah diserahkan kepada Polis Imigresen di Songkhla dan kemudian dipindahkan ke Pejabat Imigresen Suan Plu di Bangkok.

Bunthaeng menafikan laporan media bahawa Teow telah ditahan di wilayah selatan Songkhla pada  Jumaat atas tuduhan berhubung pengubahan wang haram yang mempunyai kaitan dengan perniagaan perjudian dalam talian di Danok, Sadao.

“Teow ada dalam senarai Notis Merah Interpol dan dipanggil bagi dimaklumkan visanya telah dibatalkan. Dia tidak akan didakwa di Thailand,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Biro Imigresen, MejarJeneral Achayon Kraithong memberitahu Bernama bahawa Teow akan diusir keluar.

Mengenai ke mana dia akan diusir keluar, Achayon berkata: “Sekarang, ia dalam proses pertimbangan  imigresen”.

Media melaporkan Teow yang digelar Jho Low 2, merujuk kepada seorang lagi ahli perniagaan Malaysia yang sedang diburu Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, telah melarikan diri ke Dannok di Sadao pada 2020.

Bangkok Post melaporkan Teow mengasaskan MBI Group dan mengendalikan kompleks hiburan termasuk resort di bandar Danok di sempadan Thailand-Malaysia.

Teow membina empayar perniagaan daripada skim pelaburan dalam talian yang memikat pelabur dari China, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Macau.

Pada 2017, Teow pada mulanya telah ditahan Biro Kawalan Narkotik (NSB) Thailand atas tuduhan kesalahan dadah, namun dia melarikan diri dari Songkhla dan terlepas daripada hukuman mati.

Pada 2019, pihak berkuasa Malaysia membekukan 91 akaun bank berjumlah RM177 juta yang dikaitkan dengan MBI Group International ketika itu. Bank Negara telah menyenaraikan syarikat itu sebagai syarikat yang menjalankan skim kewangan meragukan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.