Tiga ditahan isi minyak petrol berkuantiti banyak dalam gelen tanpa permit

Spread the love

SEMPORNA, 23 Julai: Polis di sini pada Khamis menahan tiga lelaki yang didapati mengisi minyak petrol berkuantiti banyak ke dalam gelen tanpa permit.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata tindakan itu diambil ketika sepasukan anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah premis stesen minyak di pekan Semporna.

Menurutnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, hasil pemeriksaan mendapati tiga individu tersebut mengisi minyak petrol menggunakan gelen di beberapa pam minyak di premis terbabit.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua individu tersebut gagal mengemukakan sebarang permit kelulusan bagi pembelian dan pengisian minyak petrol dalam kuantiti yang banyak kepada pihak polis,” kata Mohd Farhan.

Dua daripada suspek-suspek tersebut adalah warga tempatan berusia 20 dan 32 tahun, manakala seorang lagi adalah warga asing berumur 23 tahun.

Menurut Mohd Farhan lagi, lapan gelen berisi 33 liter dan 25 liter minyak petrol serta dua kereta sorong telah dirampas dalam pemeriksaan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, polis Semporna turut merampas 18 gelen minyak petrol, hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot di Kpg Air Hujung, selepas ia dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.