Telefon bimbit Zalina terakhir dikesan aktif pada 20 Nov

Spread the love

SHAH ALAM, 22 Julai : Kali terakhir telefon bimbit bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau dikenali sebagai Zalina Azman dikesan aktif adalah pada 20 Nov tahun lepas, empat hari sebelum anak lelakinya cuba membuat panggilan kepada wanita itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata menerusi semakan dan siasatan dibuat, pihak polis berpendapat berkemungkinan Zalina hilang lebih awal daripada tarikh yang dilaporkan.

“Kalau anaknya tidak cuba telefon, kita pun tidak tahu dia hilang. Berkemungkinan Zalina telah hilang lebih awal, tapi tidaklah awal sangat sebab kita dah semak dan pada 20 Nov didapati telefonnya telah dimatikan (tiada rekod panggilan keluar atau masuk).

Baca > > > Bekas pembaca berita dilaporkan hilang sejak tahun lepas

Baca > > > Suhaimi doakan Zalina Azman selamat

Baca > > > Zalina dipercayai masih berada dalam negara – Polis 

“Sama ada kerana sudah habis bateri itu kita tidak dapat pastikan,” katanya kepada Bernama ketika melakukan lawatan di rumah wanita berusia 58 tahun itu bersama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Mohd Iqbal berkata keadaan rumah Zalina Shaharah yang didapati tidak tersusun adalah disebabkan kediaman itu sedang dalam proses pengubahsuaian untuk menjadi sebuah galeri.

Sementara itu, dalam kenyataan beliau berkata polis kini sedang mengesan pekerja yang pernah melakukan kerja pengubahsuaian bagi membantu siasatan kes kehilangan bekas personaliti televisyen itu.

“Kita masih menjalankan siasatan, kini sedang mengesan pekerja-pekerja yang terlibat dalam pengubahsuaian kediaman itu (rumah Zalina) yang mungkin boleh membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, seramai enam individu telah dipanggil dan dirakam keterangan sejak laporan polis mengenai kehilangan itu dibuat.

Sebelum ini, Mohd Iqbal dilapor berkata Zalina Shaharah dipercayai masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkan wanita itu yang dikesan pihak berkuasa setakat ini.

Pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan itu daripada anak lelaki Zalina Shaharah, Mikhael Norman, 33, pada 29 Nov tahun lepas yang cuba menghubunginya sejak 24 Nov 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.