Stok penimbal ubat kerajaan mula diagihkan ke klinik swasta 

Spread the love

CYBERJAYA, 22 Julai : Stok penimbal ubat-ubatan kerajaan yang diuruskan Pharmaniaga Bhd telah diagihkan kepada klinik swasta sejak semalam susulan kekurangan ubat-ubatan tertentu di pasaran, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata punca kekurangan ubat-ubatan adalah disebabkan permintaan di luar jangkaan  terutamanya ubat demam, batuk dan selesema, jika dibandingkan sebelum tercetusnya pandemik COVID-19.

“Kalau pergi ke klinik swasta dan ada jual Paracetamol yang ada cap KKM (Kementerian Kesihatan), memang kita jual kepada mereka daripada stok penimbal.

“Ada Paracetamol, akan ada sirap batuk (dan) yang ada cap KKM itu memang sah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hematogenix Malaysia iaitu makmal penyelidikan klinikal onkologi pusat yang pertama di Malaysia, di sini hari ini.

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata pengagihan ubat-ubatan akan didahulukan kepada klinik-klinik dan hospital swasta yang mengalami kekurangan ubat.

Mengenai situasi jangkitan influenza dalam negara, beliau berkata sebanyak 213 kluster dilaporkan di sekolah rendah dan menengah sehingga Minggu Epidemiologi 29/2022 (17 Jul hingga 23 Jul), 16 kluster di tadika dan 10 kluster di institusi latihan atau kolej.

“Tahun ini ada peningkatan ketara (jangkitan influenza). Ini adalah disebabkan tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disusuli pembukaan sekolah. Ia mendedahkan rakyat terutamanya kanak-kanak yang  mungkin tahap imuniti mereka agak rendah, setelah dua tahun berkurung di rumah,” katanya.

Mengenai tindakan seorang individu yang mendakwa dirinya seorang doktor di Pahang, Khairy berkata KKM akan membuat laporan polis terhadapnya dan mengambil tindakan sewajarnya.

Tular di TikTok dan Facebook mengenai seorang individu mendakwa dirinya seorang pakar perubatan dalaman UD56 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang dan menerusi mesej tular, lelaki itu didakwa menjual barangan perubatan dengan harga mahal.

Satu semakan menerusi sistem Majlis Perubatan Malaysia (MMC) turut mendapati nama individu itu tiada dalam rekod.

Mengenai status Hospital Cyberjaya, Khairy berkata satu pengumuman mengenainya akan dibuat bulan hadapan.

Pada November tahun lepas, Khairy dilaporkan berkata KKM akan membuka permintaan untuk cadangan (RFP) bagi model pengoperasian Hospital Cyberjaya kepada pakar dan juga syarikat perubatan swasta, termasuk cadangan bagi perolehan perkhidmatan kepada penduduk Cyberjaya yang layak pada kadar hospital kerajaan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.