MA63 tidak boleh diubah – Premier Sarawak

Spread the love

KUCHING, 22 Julai : Premier Sarawak menegaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan perjanjian yang tidak boleh diubah atau ‘dicairkan’ dalam apa cara sekalipun.

Ujar Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, perkara yang telah dipersetujui oleh pemimpin Sarawak terdahulu ketika pembentukan Malaysia adalah perlu bagi melindungi hak dan kepentingan Sarawak.

Berucap pada Sambutan Hari Sarawak di Stadium Tertutup Sibu yang disiarkan secara langsung oleh TVS, Abang Johari berkata, perkara yang dimasukkan dalam perjanjian asal itu bertujuan untuk melindungi rakyat Sarawak pada zaman itu, zaman selepas dan pada masa akan datang.

“Sebagai contoh, Sarawak mempunyai hak yang terkandung dalam Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO) yang wujud sebelum 1963.

“Hak berkenaan tidak pernah dimansuhkan malah akan sentiasa dikuatkuasa dengan memberi kuasa (kepada Sarawak) ke atas sumber petroleum di negeri ini,” katanya.

Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib merupakan tetamu kehormat pada majlis sambutan malam ini.

Yang turut hadir, isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang , Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian serta Menteri Pembangunan Wanita, Kanak – Kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang juga Menteri bertanggungjawab sambutan Hari Sarawak 2022, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Meneruskan ucapan, Abang Johari berkata, cadangan untuk ‘menukar’ MA63 tidak sepatutnya timbul kerana masih terdapat beberapa hak dan keistimewaan Sarawak telah terhakis atau belum ditunaikan selepas 59 tahun.

“Satu-satunya perkara yang perlu dilakukan ialah Kerajaan Persekutuan menghormati sepenuhnya perjanjian yang dibuat oleh bapa pengasas negara ini dalam semangat Keluarga Malaysia dan bukan berpaling darinya,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.