Ibu dakwa anak ‘terjebak’ sindiket penipuan dikurung, dipukul di Laos

Spread the love

KUALA LUMPUR, 22 Julai : Terpedaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara yang menjanjikan pulangan lumayan, namun akhirnya ‘terjebak’ sebagai pegawai khidmat pelanggan sindiket penipuan dalam talian.

Itu nasib yang menimpa sembilan lelaki rakyat Malaysia yang kini dipercayai berada di Laos dan mendakwa turut dikurung dan dipukul oleh ‘majikan’ mereka.

Ibu seorang daripada mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wendy mendakwa anaknya yang berusia 23 tahun itu sebelum ini mendapat pekerjaan di Dubai pada Februari lepas.

Menurut wanita berusia 43 tahun itu, dia tidak mengetahui pekerjaan anaknya namun sering mendapat panggilan video dan telefon daripada anaknya ketika berada di Dubai.

“Pada April tahun ini, anak ada telefon dan beritahu dia bersama lapan rakannya berada di Laos dan masih boleh dihubungi.

“Saya terkejut apabila pada Jun lepas, dia beritahu mahu lari daripada syarikatnya bekerja kerana tidak diberikan makanan dan minuman akibat tidak mahu menjadi telefon scammer (pegawai khidmat pelanggan sindiket penipuan),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Wendy berkata dia turut menerima gambar yang memaparkan kecederaan yang dialami anak dan rakan anaknya serta hanya menunggu anaknya itu untuk menghubunginya.

Dia yang bimbang dengan keadaan itu sudah membuat laporan polis dan berharap anak tunggalnya dapat dibantu dan dibawa pulang ke tanah air segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut pada Rabu lepas dan satu kertas siasatan telah dibuka.

Sebelum ini, seramai 16 rakyat Malaysia dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ oleh satu sindiket di Preah Sihanouk di Kemboja setelah terpedaya dengan iklan pekerjaan dan diselamatkan pada 5 April lepas.

Pada 12 April, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya menerima 35 laporan melibatkan 45 warga Malaysia yang dipercayai terkandas di luar negara seperti Myanmar, Thailand dan Laos disyaki menjadi mangsa sindiket penipuan. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.