Hari Sarawak lambang penyatuan rakyat pelbagai bangsa – Fatimah

Spread the love

SIBU, 22 Julai : Pengisytiharan Hari Sarawak sangat bermakna kerana telah memberikan impak positif membabitkan politik, pentadbiran dan sosial kepada rakyat di negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pengumuman oleh bekas Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 2016 bahawa tarikh ini sebagai cuti umum telah menyedarkan rakyat tentang signifikan Sarawak sebagai satu ‘entiti politik’ yang dapat menyatukan seluruh penduduk berbilang bangsa, suku kaum, budaya, agama dan bahasa.

Beliau yang juga Menteri bertanggungjawab sambutan Hari Sarawak 2022 berkata, sambutan turut meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda tentang pengorbanan serta sumbangan besar tokoh-tokoh dan pemimpin Sarawak yang terdahulu yang tidak ternilai harganya.

“Tema sambutan pada tahun ini iaitu Sarawak Makmur dipilih bagi mengambarkan tahap dan tempo pembangunan Sarawak yang terus bergerak rancak di seluruh negeri.

“Momentum ini jelas berkesinambungan daripada usaha yang dimulakan oleh Datuk Stephen Kalong Ningkan, Datuk Penghulu Tawi Sli, Tun Abdul Rahman Yaakub, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud diikuti Allahyarham Tok Nan dan kini Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Sarawak 2022, di Stadium Tertutup Sibu, di sini hari ini yang turut disiarkan secara langsung oleh TVS.

Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib merupakan tetamu kehormat pada majlis sambutan ini yang dihadiri lebih 1,000 orang.

Yang turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang , Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Fatimah berkata, sebagai rakyat yang mengharapkan pembangunan dan kemakmuran yang menyeluruh, sokongan dan kerjasama semua pemegang taruh adalah sangat penting bagi menjamin kestabilan politik, keharmonian sosiobudaya, dan kelestarian aspirasi demi kelansungan rakyat Sarawak yang bermaruah.

“Pembangunan info dan infrastruktur yang dibina, sentiasa diimbangi dengan program pembangunan sumber manusia melalui penubuhan institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berterima kasih kepada Abang Johari yang banyak menyuntik idea baharu bagi merancakkan tempo pembangunan di Sarawak seperti pembangunan semula kawasan Bukit Assek di Sibu.

“Apabila siap nanti, sudah tentu ianya akan mengubah corak pembangunan di Bandar Sibu di samping menjadi satu mercu tanda yang baharu,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.