UOB Malaysia bersedia bantu permudah pelaburan langsung asing ke Sarawak

Spread the love

KUCHING, 21 Julai : UOB Malaysia bersedia mempermudah lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke Sarawak sejajar dengan usaha syarikat-syarikat antarabangsa mencari peluang melabur dalam sektor-sektor bernilai tinggi di negeri itu.

Bank itu menjangka bahawa lebih banyak syarikat multinasional, terutamanya dari industri pembuatan, perdagangan, teknologi, makanan dan pertanian akan melabur dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital, ekopelancongan dan agroteknologi Sarawak.

Kata UOB Malaysia, syarikat-syarikat berkenaan terutamanya bertaraf multinasional dari China, Korea Selatan, Jepun dan yang berpangkalan di Singapura, berminat untuk memanfaatkan infrastruktur pembuatan dan tenaga boleh diperbaharui di Sarawak yang menjimatkan kos sebagai sebahagian daripada pengembangan operasi mereka di Asia Tenggara.

“Dalam usaha menghubungkan pelanggan kepada peluang perniagaan di Sarawak, UOB Malaysia telah bekerjasama dengan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) untuk menganjurkan misi pelaburan dan perdagangan ke negeri itu.

“Setakat ini, lebih 50 eksekutif tertinggi dari pelbagai sektor perniagaan Singapura, seperti tenaga, elektronik, pembuatan, perdagangan, pertanian dan pendidikan, mengambil bahagian dalam misi perdagangan empat hari ini.

“Sebagai sebahagian daripada lawatan, delegasi mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” jelas bank berkenaan menerusi kenyataan media di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut kenyataan itu juga, Sarawak merupakan negeri yang kaya dengan sumber semula jadi, termasuk hasil pertanian dan juga dikenali sebagai hab tenaga boleh diperbaharui Malaysia.

“Ekosistem perniagaannya yang kukuh merangkumi tenaga buruh mahir, infrastruktur yang dibangunkan dengan baik dan rantaian bekalan perdagangan dan pembuatan yang teguh, merupakan tarikan utama bagi pelabur asing,” kata UOB Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, Sarawak juga merupakan lima destinasi pelaburan utama Malaysia.

Kata beliau, komitmen Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan persekitaran paling sesuai untuk pelaburan melalui polisi dan inisiatif yang mesra perniagaan menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan yang menarik untuk pelabur tempatan dan asing.

“Sumber semula jadi negeri dan tenaga boleh diperbaharui juga merupakan tarikan besar kepada pelabur. Di samping itu, kami menjangka kemasukan Malaysia ke dalam perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan membuka pintu kepada lebih banyak peluang untuk syarikat melabur dan berdagang dengan perniagaan di Sarawak,” katanya.

Melangkah ke hadapan ujar Wei Wei, pihaknya akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyokong wawasan Premier Sarawak dalam mengutamakan pembangunan tenaga hijau dalam usaha menarik pelabur asing yang ingin memajukan perniagaan mereka secara mampan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.