Pencari siput hilang dijumpai di hutan nipah

Spread the love

BINTANGOR, 21 Julai : Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari siput petang semalam dijumpai selamat di kawasan hutan paya nipah, di Sungai Janting di sini, hari ini.

Risman Abdullah @ Risman Luhat, 54, ditemui oleh anaknya pada pukul 9.15 pagi tadi dalam keadaan lemah.

Kawasan itu terletak kira-kira dua kilometer (km) dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) yang dibuka untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Penolong Penguasa Bomba, Nicholas Belulin berkata, pemeriksaan awal mendapati lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan namun berada dalam keadaan lemah.

“Sejurus ditemui, mangsa terus dibawa ke Klinik Kesihatan Bintangor untuk pemeriksaan kesihatan.

“Berikutan penemuan itu, operasi ditamatkan pada pukul 11.30 pagi,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Difahamkan, Risman semalam keluar untuk mencari siput kira-kira pukul 4.00 petang namun tidak pulang ke rumah hingga lewat malam.

Sehubungan itu, keluarganya membuat laporan di Balai Polis Bintangor. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.