Langkawi diiktiraf pulau terbaik di Asia Tenggara

Spread the love

ALOR SETAR,  21 Julai : Langkawi terdiri daripada gugusan 99 pulau di luar pantai Kedah, berjaya merangkul anugerah peringkat antarabangsa ‘Asia Best Awards 2022’ dan diiktiraf sebagai satu daripada Pulau Terbaik di Asia Tenggara baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Nasaruddin Abdul Muttalib berkata anugerah itu membuktikan usaha dan dedikasi berterusan pihaknya terutama sepanjang pandemik iaitu semasa ketibaan pelancong ke pulau itu berada pada tahap kurang memuaskan.

Beliau berkata kejayaan manis itu turut diiringi dengan berita gembira apabila Four Seasons Resort Langkawi turut menerima anugerah The Best Beach and Upcountry Hotel in Malaysia 2022.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, kami tetap optimis dan memikul tanggungjawab untuk memastikan pulau ini berdaya tahan dalam perjalanannya ke arah pemulihan dan kekal menjadi destinasi pelancongan pilihan ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasaruddin berkata sebagai agensi perintis dalam pembangunan pelancongan Langkawi, LADA memainkan peranan penting untuk menjadikan Langkawi destinasi pelancongan bertaraf dunia yang terkenal seperti sekarang.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menjangkakan ketibaan lebih ramai pelancong antarabangsa berpotensi menggiatkan semula ekonomi dan merangsang pendapatan masyarakat setempat.

“Bagi merealisasi hasrat ini, kami memberi tumpuan kepada empat komponen utama iaitu Pelancongan Leisure (Antarabangsa & Domestik), Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) dan Acara Pelancongan.

“Pelan tindakan kami merangkumi mempromosikan pelancongan berkonsepkan hijau, mencipta pengalaman dan bertanggungjawab, insentif seperti membeli-belah bebas cukai dan mewujudkan tempat yang menarik untuk Instagram bagi memastikan kami dapat mengekalkan kedudukan kami sebagai satu daripada pulau terbaik di Asia Tenggara,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.