Kes Syed Saddiq: JC Ingatkan orang awam tidak melampaui batas buat kenyataan

Spread the love

KUALA LUMPUR, 21 Julai : Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid, yang mendengar perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram, hari ini mengingatkan orang awam supaya tidak melampaui batas dalam membuat sebarang kenyataan di media sosial berhubung kes itu.

Azhar bagaimanapun berkata mahkamah tidak boleh menghalang orang awam daripada membuat sebarang komen kerana mereka mempunyai hak bersuara yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Tetapi ia adalah peringatan yang baik. Komen mesti dalam parameter yang dibenarkan dan jangan keterlaluan,” katanya sambil menambah media bebas untuk melaporkan apa yang berlaku di mahkamah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membangkitkan aduan berhubung tindakan seorang individu bernama Farhan yang membocorkan transkrip rakaman audio, yang belum ditandakan sebagai eksibit mahkamah dengan membuat hantaran mengenai transkrip itu di akaun Twitter atas nama Farhan.

Rakaman audio itu didakwa mengandungi perbualan antara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan pegawai kanan SPRM Mohd Ihsan Sapuan yang memujuk ahli politik itu supaya menyokong kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rakaman audio itu dimainkan semasa Pegawai Penyiasat SPRM Mohd Syahmeizy Sulong, 37, memberi keterangannya di mahkamah semalam dan saksi pendakwaan itu akan menyambung keterangannya hari ini.

Baca > > > Syed Saddiq arah wang RM1 juta diagih sehari selepas SPRM geledah rumah – Saksi

Baca > > > Saksi syak Syed Saddiq subahat dengan dua individu tentang kehilangan RM250 ribu

Wan Shaharuddin turut mempersoalkan bagaimana transkrip rakaman audio itu tersebar kepada pihak media, yang kemudiannya disiarkan oleh Astro Awani dan Sinar Harian memandangkan ia hanya diberikan kepada pihak mahkamah terdiri daripada hakim, jurubahasa, pendakwaan dan pembelaan.

“Saya boleh sahkan ini bukan perbuatan dua rakan saya (merujuk kepada timbalan pendakwa raya lain).

“Mereka tidak akan melakukan perkara begini (bocor transkrip kepada media). Pendakwaan mohon mahkamah memanggil editor Astro Awani dan Sinar Harian bagi memberi penjelasan bagaimana transkrip itu diperoleh,” katanya yang turut memaklumkan kedua-dua agensi media itu tidak membuat liputan semasa rakaman audio itu dimainkan semalam.

Mengenai individu bernama Farhan, Wan Shaharuddin berkata lelaki itu berada di mahkamah hari ini dan pihak pendakwaan memohon beliau memberi penjelasan kepada mahkamah bagaimana transkrip rakaman audio itu diperolehnya.

“Seperti yang saya katakan semalam, masih belum ditentukan keaslian pemilik suara dalam rakaman audio itu adalah Ehsan dan Syed Saddiq. Kita semua sudah dewasa, tetapi ini kerja budak mentah yang tidak cukup empuk lagi nasinya.

“Perbuatan pemilik Twitter ini jelas sub judice kerana dia membuat dapatan tentang kes yang masih dibicarakan. Dia jadi pendakwaan, dia jadi pembelaan dan jadi hakim dalam kes ini,” katanya dan menambah satu laporan polis telah dibuat awal pagi tadi berhubung perkara itu.

Sementara itu, Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq tidak bersetuju dengan tuduhan pendakwaan transkrip itu dibocorkan kerana rakaman audio itu dimainkan semalam di mahkamah dan pihak media mempunyai kebebasan untuk melaporkannya.

“Saya tidak setuju transkrip ini dibocorkan kerana ia dibaca di mahkamah dan soalan ditanya adalah verbatim. Media dengar dan laporkan. Pihak media hanya menjalankan tugas dan buat apa yang berlaku di mahkamah. Ini tidak adil dan dalam hal ini Farhan mewakili orang awam,” katanya yang turut memaklumkan mahkamah tidak mengeluarkan larangan kepada orang awam dan media supaya tidak menyiarkannya.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Syed Saddiq, Datuk S. Ambiga turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan yang disifatkan cuba membuli orang awam dengan membuat laporan polis berkaitan isu yang menyentuh integritinya.

Perbicaraan di hadapan Azhar bersambung. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.