JAS Sarawak seru pemain industri kelapa sawit patuhi Akta Kualiti Alam Sekitar 1974

Spread the love

KUCHING, 21 Julai : Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak menyeru pemain industri kelapa sawit di negeri ini supaya mematuhi Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (AKAS) 1974.

Pengarahnya, Hamzah Mohamad berkata, seruan itu selaras dengan sasaran Malaysia ke arah 100 peratus pematuhan oleh kilang kelapa sawit terhadap undang – undang berkenaan.

Di pihak JAS negeri katanya, mereka turut komited untuk mencapai hasrat berkenaan termasuk menerusi penganjuran Seminar Pematuhan Kilang Kelapa Sawit (KKS).

Katanya, seminar sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 Peringkat Negeri juga menyaksikan sebanyak empat kertas kerja telah dibentangkan.

“Seminar ini merupakan satu platform yang berkesan untuk menyampaikan maklumat, status, hala tuju, polisi semasa JAS, arahan tahunan, laporan pematuhan tahunan serta isu-isu semasa kepada pemain industri.

“Oleh itu, saya berharap agar semua maklumat yang diperolehi menerusi seminar ini akan memberi manfaat kepada peserta ke arah pengoperasian dan pengendalian kilang yang lebih lestari,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan seminar berkenaan yang dihadiri lebih 100 peserta di sini hari ini.

Hamzah berkata, pemain industri kelapa sawit wajar mematuhi akta tersebut bagi memastikan kemampanan alam sekitar di samping meningkatkan kualiti pengurusan operasi kilang.

Antara kertas kerja yang dibentangkan ialah berkenaan status dan hala tuju pematuhan kilang kelapa sawit terhadap undang – undang berkenaan.

Turut dibentangkan ialah kertas kerja Amalan Pemantauan Prestasi Bagi Sistem Pengolahan Kilang Kelapa Sawit oleh Institut Alam Sekitar Malaysia (EiMAS). -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.