Google lancar Gemilang bantu rakyat Malaysia peroleh kemahiran digital

Spread the love

KUALA LUMPUR, 21 Julai : Google telah melancarkan program latihan digital baharu iaitu “Gemilang” untuk membantu rakyat Malaysia mengembangkan kemahiran digital dan mendapatkan akses kepada pekerjaan permintaan tinggi.

Pengarah Urusan Google Malaysia Marc Woo berkata di bawah program itu, 31,000 biasiswa Sijil Kerjaya Google akan ditawarkan melalui rakan kongsi tempatan termasuk institusi pendidikan, rakan industri dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan bagi mendapatkan sijil tanpa sebarang kos.

Google juga telah membentuk konsortium majikan untuk menghubungkan pencari kerja daripada program Gemilang dengan bakal majikan yang mengiktiraf kelayakan tersebut.

“Inisiatif Sijil Kerjaya Google tersedia kepada semua rakyat Malaysia untuk memperoleh kemahiran teknologi dalam enam bidang seperti analisis data, sokongan IT, automasi IT, pengurusan projek, reka bentuk UX termasuk pemasaran/e-dagang,” kata Woo pada pelancaran Gemilang di sini hari ini.

Google Cloud bekerjasama dengan Universiti Tenaga Nasional dalam menawarkan kurikulum latihan Google Cloud untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknikal dalam pengkomputeran awan serta mempersiapkan mereka bagi kerjaya dalam analisis data, pembelajaran mesin dan pembangunan aplikasi.

“Laporan oleh AlphaBeta mendapati bahawa teknologi digital jika dimanfaatkan sepenuhnya boleh menghasilkan sehingga US$257.2 bilion (US$1=RM4.45) nilai ekonomi setiap tahun di Malaysia menjelang 2030,” katanya.

Woo juga berkata data oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia menunjukkan kekosongan jawatan digital Malaysia mencecah hampir tiga kali ganda setakat April tahun lepas.

“Laporan oleh PricewaterhouseCoopers mendedahkan 88 peratus rakyat Malaysia yang ditinjau bersedia mempelajari kemahiran baharu atau dilatih semula agar kekal relevan untuk bekerja pada masa akan datang.

“Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi mendapati bahawa kemahiran digital yang paling mendapat permintaan di negara ini adalah analisis data besar, pemasaran digital dan kecerdasan buatan,” kata Woo.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam ucapannya, mengalu-alukan pelancaran Gemilang dan berharap lebih banyak alat dapat disediakan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam meningkatkan rantaian nilai mereka.

Beliau berkata tanpa bakat, tidak ada negara yang mampu beralih kepada pendigitalan.

“Kami mengakui bahawa beberapa bahagian di Malaysia dan negeri-negeri yang kurang maju telah mencatatkan perbezaan dalam pertumbuhan ekonomi, jadi saya menyokong sepenuhnya apa yang anda (Google) lakukan untuk memimpin orang ramai, mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan mendapatkan pertumbuhan yang lebih adil, ini amat mengagumkan.

“Kami perlu memastikan bahawa pertumbuhan ini dikongsi oleh semua rakyat Malaysia. Jadi, kami menggalakkan apa sahaja yang anda buat untuk mengurangkan jurang berkenaan,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.