An An, panda jantan tertua di dunia mati pada usia 35 tahun

Spread the love

HONG KONG, 21 Julai : An An, panda gergasi jantan dalam kurungan yang tertua di dunia dilaporkan mati di Hong Kong pada usia 35 tahun, menyamai kira-kira 105 tahun usia manusia, lapor Xinhua.

Kesihatannya dilaporkan mula merosot sejak beberapa minggu lalu.

The Ocean Park Hong Kong memaklumkan An An telah banyak meninggalkan kenangan buat semua dan keletah nya akan sentiasa diingati dan dirindui.

Dilahirkan di Wilayah Sichuan, barat daya China, An An telah dihadiahkan oleh Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Panda Gergasi China kepada Hong Kong pada 1997.

An An tiba di Hong Kong pada 11 Mac 1999 bersama dengan seekor lagi panda gergasi betina, Jia Jia, yang mati pada 2016 pada usia 38 tahun.

“Kami berterima kasih atas peluang yang diberikan untuk menjaga Jia Jia dan An An dengan tujuan utama untuk taman ini berkembang menjadi pangkalan penting untuk pemuliharaan panda.

“Sejak ketibaan pasangan panda di taman itu, Jia Jia dan An An telah memainkan peranan sebagai duta yang menyokong usaha mempromosikan alam semula jadi dan ekosistem.

“Misi An An dan Jia Jia bagaimanapun akan diteruskan oleh panda gergasi Ying Ying dan Le Le yang tinggal di Giant Panda Adventure,” kata pengerusi Ocean Park Corporation, Paulo Pong.

Pong merujuk kepada sepasang lagi panda gergasi yang turut dihadiahkan kepada Hong Kong bersempena dengan ulang tahun ke-10 penyerahan Hong Kong kepada China.

Secara purata, jangka hayat panda gergasi adalah kira-kira 20 tahun tetapi jika bawah jagaan manusia, jangka hayat mereka boleh mencecah kira-kira 30 tahun. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.